BAGI orang baharu yang boleh dikatakan ‘hijau’ dalam dunia nyanyian di arus perdana, ternyata pengalaman dapat bekerjasama dengan individu yang sudah lama terlibat dalam bidang muzik menjadi satu momen yang tidak dapat dilupakan.

Selain dapat menimba pengalaman dari mereka, nasihat dan dorongan yang diberikan juga pasti memberi semangat buat bakat baharu ini untuk terus mara mengejar impian.

Itulah pengalaman terindah yang dikongsi Nik Nabil, 37, atau lebih mesra disapa Nabil yang mengakui bukan sesuatu yang mudah baginya untuk melangkah dalam dunia seni yang menjadi cinta hatinya kini.

Tambah anak jati Selangor ini lagi, perkenalannya bersama pemuzik terkenal, AG Coco adalah suatu penanda aras buatnya untuk terus optimis, merakam lagu hasil ciptaan sendiri.

“Jujurnya, saya sudah menyiapkan dua buah lagu iaitu Memori dan Selalu lebih lapan tahun yang lalu. Namun sebagai orang yang kurang pengetahuan untuk merakam lagu, saya terpaksa mencari individu yang dirasakan terbaik untuk menghasilkan nota dan melodi lagu tersebut,” katanya.

“Akhirnya, saya bertemu AG Coco dan bila mana kami meluang waktu, barulah saya sedar bahawa dia merupakan pemuda yang begitu banyak ilmu muziknya. Malah profilnya juga begitu baik kerana sebelum ini dia pernah bekerjasama dengan penyanyi nama besar seperti Hujan, Yuna dan sebagainya.

“Jadi saya kira kerjasama di antara kami merupakan suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” tambah Nabil.

“Sebagai penyanyi baru, saya kagum dengan caranya di dalam bekerja. dia begitu hargai hasil dari orang baru dan ia secara tidak langsung membuatkan saya yakin dan selesa untuk melakukan yang terbaik. Banyak input positif yang diperolehi darinya,” terang Nabil yang menambah, untuk lagu terbaharunya berjudul Selalu, dia mendapat inspirasi daripada kisah legenda Siti Zubaidah.

“Selalu pada dasarnya mengisahkan mengenai konflik cinta dan pastinya semua orang di dunia ini mengharapkan hubungan yang kekal abadi. Sebagai seorang pencinta muzik juga, saya anggap ia adalah sebagai salah satu terapi yang secara tidak langsung memberikan kita kepuasan dan keyakinan untuk lakukan apa sahaja yang disukai dalam hidup,” ujar anak tunggal ini lagi.

Berkongsi mengenai perkembangan terbarunya pula, Nabil memberitahu, dia ada menerima pelawaan dari ‘sifunya’, AG Coco untuk menghasilkan sebuah lagu baru.

“Semuanya masih lagi di peringkat awal perbincangan. Insya-ALLAH jika ada peluang, sudah tentu saya tidak akan lepaskan peluang yang ada di depan mata. Apa pun, saya mengharapkan sokongan terbaik dari penggemar muzik kita,” terang Nabil yang pada masa sama giat mempromosikan lagu terbarunya itu di jaluran media sosial, khususnya YouTube.